Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 19 Mei. - 25 tahun merupakan satu tempoh yang sarat dengan pengalaman, cabaran dan pencapaian. Mahkamah Syariah memainkan peranan penting dalam menegakkan keadilan berlandaskan hukum syarak serta peruntukkan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai usaha penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk penetapan kehakiman melalui pelbagai Akta/Perintah mahupun undang-undang prosedur dan aturan-aturan yang dikuatkuasakan.
Ketua Hakim Syarie, Yang Amat Arif / Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Awang Haji Salim bin Haji Besar menyatakan demikian pada Majlis Perasmian Hari Terbuka Mahkamah-mahkamah Syariah 2026 sempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Penubuhan Mahkamah-mahkamah Syariah yang berlangsung di Bangunan Mahkamah Besar dan Mahkamah-mahkamah Syariah, di sini.
Terdahulu Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie menjelaskan bahawa penubuhan mahkamah ini adalah manifestasi kepada hasrat dan wawasan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Sebagaimana yang dizahirkan melalui titah baginda pada 15 Julai 1996 di Balai Singgahsana Istana Nurul Iman, bersempena Sambutan Hari Keputeraan baginda Ke-50 Tahun, “Dengan rasa keimanan yang bulat terhadap peraturan dan undang-undang Allah, maka beta telah memperkenankan penubuhan Mahkamah-mahkamah Syariah sehingga ke tahap yang setinggi-tingginya bagi menangani bukan sahaja pentadbiran undang-undang keluarga, malahan juga di ketika yang sesuai dan munasabah akan juga mengendalikan Qanun Jina'I yakni Islamic Criminal Act selengkapnya sebagaimana yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wata'ala".
Melangkah ke hadapan, jelas Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie, menjunjung titah berkenaan, Akta Mahkamah-mahkamah Syariah, Penggal 184 telah diwartakan dengan penubuhan Mahkamah-mahkamah Syariah yang terdiri dari Mahkamah Rayuan Syariah, Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rendah Syariah yang memberikan bidang kuasa yang bukan hanya setakat membicarakan dan memutuskan kes-kes yang berkaitan dengan 'mal' dan jenayah, bahkan bidang kuasa telah diperluaskan dalam perkara rayuan dan juga semakan.
“Dengan bertambahnya bidang kuasa yang diperluaskan dan dipertingkatkan terutama setelah berkuat kuasanya Kanun Hukuman Jenayah Syariah, Penggal 275 dan Akta Kanun Peraturan Jenayah Mahkamah Syariah, Penggal 224 yang diamanahkan untuk dilaksanakan di Mahkamah Syariah telah menjadikan Mahkamah Syariah tumpuan dan perhatian pengamal undang-undang bukan saja daripada kehakiman nusantara akan tetapi pengamal undang-undang antarabangsa mahupun para diplomat asing," terang Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.
Walau bagaimanapun, tambah Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie, segala cabaran yang mendatang telah dapat ditangani dengan berkesan melalui pemahaman, pendedahan, pendekatan strategik, persiapan yang proaktif dan kerjasama yang kuat secara berhemah dan harmoni.
Kongsi Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syar'ie, pelbagai cabaran ini telah menjadi dorongan kepada Mahkamah Syariah dalam memperkasa dan memperkukuh kehakiman Syariah melalui sumber tenaga manusia dikalangan Hakim-Hakim dan Pendaftar yang berpengetahuan dan berpengalaman melalui latihan dari dalam dan keluar negara.
“Selain daripada itu, Mahkamah Syariah juga memperkukuhkan dan memperkasakan perkhidmatan dan pengurusan kes serta penerapan teknologi digital dalam menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti.
“Segala transformasi ini bertujuan memastikan keadilan syariah dapat disampaikan secara lebih cekap, telus dan berintegriti dengan kolaborasi lingkungan ekosistem kehakiman Syariah yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dalam rangkaian proses kerja dan perkhidmatan secara mampan," ujar Yang Amat Arif / Yang Berhormat Ketua Hakim Syarie.
Menurut Yang Amat Arif / Yang Berhormat lagi, hasil jalinan kerjasama Mahkamah Syariah bersama agensi-agensi ini mencerminkan komitmen dalam memperkukuh tadbir urus dan memastikan prinsip keadilan, ihsan dan masalah umah sentiasa terpelihara selaras dengan falsafah negara Melayu Islam Beraja.
Selaras dengan Tema Hari Terbuka pada hari ini, kongsi Yang Amat Arif / Yang Berhormat iaitu '25 Tahun Pemerkasaan Mahkamah-mahkamah Syariah' maka adalah diharapkan Mahkamah Syariah ini akan dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu dari semua pihak khasnya agensi-agensi kerajaan mahupun orang ramal, dengan itu negara kita akan menjadi sebuah negara 'Baldatun Thayyibatun Warabbun Ghafur'.